Rabu, 30 November 2011

Meatball Spaghetti

Salam Rabu... hari ni CK sendiri yang teringin nk makan spegheti ala2 Ikea gitew... tak lama dulu nampak kat blog kak Ct Delima...ermmm...sedap sungguh...tak tertahan nk membuatnya.


Meatballs in Tomato Sauce

Resipi : Ijan Blogresipi

Bahan untuk meatballs:

500 gm daging lembu kisar
1/2 teaspoon serbuk jintan manis
1/2 teaspoon serbuk ketumbar
1/2 teaspoon serbuk cili
2 genggam breadcrumbs
1 telur -kite tak letak
1 tablespoon daun oregano kering/fresh
1 tablespoon daun rosemarry dicincang
garam secukup rasa
1 teaspoon serbuk blackpepper

Bahan untuk tomato sos:
1 tin tomato cincang
1 biji bawang besar di cincang
1 bawang putih dicincang
1 teaspoon daun oregano kering
garam secukup rasa

Bahan untuk dibakar:
mozarella cheese
grated parmesan

Cara penyediaan meatballs:
Campur semua bahan dalam bekas besar. Gaul sebati. Bentuk2 kan meatballs sebesar bola ping-pong sehingga habis. Dalam kuali, panaskan sedikit minyak (guna dlm 5 camca besar) dan goreng semua meatballs sekaligus. Goreng lebih kurang 5 minit sehingga rata disemua bahagian.

Cara penyediaan sos tomato:
Panaskan sedikit minyak dlm kuali/periuk. Goreng bawang besar dan bawang putih hingga layu. Masukkan tomato, oregano dan garam. Gaul sebati dan biarkan mendidih. Tutup api.

Cara penyediaan akhir:

Pindahkan sos tomato ke dalam bekas yang sesuai untuk di masukkan dalam oven. Susun meatballs di dalam sos tomato tersebut dan taburkan mozarella dan grated parmesan cheese di atasnya. Bakar pada suhu 220'C selama lebih kurang 15 minit atau sehingga bahagian atas nya bewarna kekuningan.


Hari ni dh 30hb kan...so hari ni tak buat kuih2 frozen, cis tart mahupun apam polkadot.... CK jadi accountant plak hari ni...kena tutup akaun.... hahahaha.....


Sedap... anak2 suka makan, si Rayyan makan sampai comot muka. Dan si debab Irfan siap tanya berkali-kali, "ada lagi tak mama" ... dan "kejap lagi boleh makan lagi tak mama?"

Bagi CK? ermmm...sedap...tp kalo nk buat len kali, CK akan cuba lembutkan lagi bebola daging tu. Yang ni pejal sangat (tp bukan keras) Mungkin akan datang kena letak lebih telur atau breadcrumb....ke ada kengkawan yang boleh bantu??


Selasa, 29 November 2011

Ayam Goreng Berempah Wangi & Berserdak

Salam Tengahari
CK suka sangat makan nasi kukus, lebih2 lagi kalo dapat ayam gorengnya yang sedap tu. Hari2 mesti nk makan ayam goreng.
Kali ni mencuba respi dari Ratna @ Madihaa plak. Time kasih yer Madihaa. Saya share respinya kat blog ni plak.


Ayam Goreng Berempah Wangi &Berserdak
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
½ ekor ayam saiz besar
1 ½ sudu kecil garam
1 sudu besar penuh gula pasir
½ sudu kecil aji (optional)
Minyak masak secukupnya
Penapis gorengan berdawai halus

Bahan kisar kering (guna food processor/blender kering)
~1 biji bawang besar
~4 ulas bawang putih
~1 ½ ~ 2 inci halia ~ potong kecik2 (bergantung saiznya besar atau kecik.. kalau kecik letakla 2 inci)
~1 ½ ~ 2 inci lengkuas ~ potong kecik2 (bergantung saiznya besar atau kecik)
~3 ~ 4 batang serai ~ ambil bahagian pangkal saja lebih kurang 1 jengkal/6 inci.. bersihkan & potong2 1 inci (maknanya dptlah 6 potongan bg setiap batang serai (ini adalah untuk dapatkan serdak yg panjang2)
~1 inci kunyit hidup (boleh ganti 1 sudu kecik serbuk kunyit)
`1 sudu besar rempah ketumbar biji
~½ sudu besar rempah jintan manis biji
~½ sudu kecil rempah jintan putih biji

Cara2 menyediakan.
1. Ayam dipotong beberapa bahagian & cuci bersih & tos
2. Bahan2 kisar di atas..
3. Perapkan ayam & semua bahan2 kisar &bahan2 perasa & gaul sebati. Perapkan selama 30 minit hingga satu jam.
4. Panaskan minyak &masukkan ayam satu persatu sekali dengan rempah yang dikisar tadi. Gunakan api yang sederhana. Sesekali rempah2 yang timbul dikacau2 sikit. Bahagian bawah ayam tu sekali sekala dikarih2 sikit supaya ia tak berkerak. Tapi jangan dibalikkan selagi ia belum garing. Biarkan garing di sebelah kemudian barulah dibalikkan. Bila dah garing bolehlah diangkat & toskan. Lepas tu.. gunakan penapis berjaring halus tadi & sauk/kaup kan serdak2 yang dah garing dalam kuali tadi & toskan juga. (kalau boleh tos dalam penapis lain ye). Sauk kesemua serdak sehingga habis dengan mengorek2 atau mengarih2 sikit dasar kuali.
5. Sambung menggoreng lagi ayam & masukkan semua rempah2 yang dikisar tadi untuk mendapatkan / menghasilkan serdak yang lebih banyak. (Yang dalam gambar tu hanya sebahagian je serdaknya.. ada lagi dalam mangkuk kecik lain.. hehe..)
6. Hidangkan ayam di dalam pinggan hidangan & taburkan serdak yang telah ditoskan. Ayam Goreng Berempah Wangi & Berserdak ini sedap dihidang bersama nasi lemak, nasi putih atau nasi berperisa yang lain. Memang besttt!


Kalau ada ayam goreng ni, mesti kena buat sambal belacan dan sedikit ulam2. Lepas tu kalo dapat ngan kari daging...pergh....lengkap !!! CK dan anak2 suka makan serdaknya !! 



Isnin, 28 November 2011

Sambal Udang Petai

Salam

Hidangan tengahari ni special buat Along sbb ada lauk kegemaran dia- petai. Errrm... tahan jer laaa...

Beli petai ni kat pasar malam, 4 ikat rm3.00. Matanya kecik2 jer..tapi takpe la, untuk sorang makan kan. Dan bila CK masak lauk ni, habis semua petai dikutip oleh Along. Orang lain tak heran sangat sbb tak brapa suka petai.


Resipi Sambal Udang Petai
Sumber: Cendanakasih

Bahan-bahan
25 ekor udang sederhana besar
4 papan petai-diambil isinya
1 senduk cili kering kisar
1 sudu teh pes asam jawa
2 sudu serbuk udang kering
garam, perasa
minyak masak
bawang besar -dpotong bulat

Bahan tumbuk
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit belacan

Cara-cara
Satukan bahan ditumbuk bersama pes cili.
Panaskan kuali, masukkan minyak dan tumis cili tadi sampai pecah minyak dan naik bau.
Masukkan air asam jawa dan petai. Biar sekejap dan masukkan udang, bersama serbuk udang kering
Kacau rata, tambah garam dan perasa
Akhir sekali, masukkan bawang besar yang dipotong bulat, kacau dan sedia dihidang.


Lauk lain- belum sempat nk masak...sedang berfikir2 ni...cadangnya nk goreng ikan, goreng sayur, buat sambal belacan dan cicah ngan ulam. Errrm.... harap Jebat berselera ler makan !!!

Tayang cis tart ler plak...pepagi lagi dh mulakan projek cis tart ni... tempahan dari jiran seberang jalan...kak Tie Kelantan. Selain cis tart ni, dia tempah gak karipap ngan cucur badak untuk dihantar ke Kelantan

** jauh dah produk CK berjalan - ke Dubai, Kelantan, Sabah, Kedah, Jobor, Perak.... tp tuan yang membuatnya macam katak bawah tempurung....hahaha....DUNIAku DI DAPUR



Sabtu, 26 November 2011

Sup Ayam ala Thai

Salam semua. Bersua lagi...

Hari ni CK masak sup kegemaran CK lah.. suka sangat makan sup kat kedai tomyam tu. Tapi tiap kali order, mesti rasa tak cukup jer... nk order lagi...ish..malu lah...kang kata buruk lantak plak. Kalo masak sup ni, sure kena buat nasi goreng, buat udang celup tepung dan sayur kailan ikan masin...Pergh..lengkap !!!


RESIPI SUP AYAM ala THAI
sumber : Cendanakasih

Bahan-bahan
setengah ayam, dipotong sederhana besar
2batang serai, dititik
2 inci lengkuas, diketuk
2 batang saleri, dikerat2
2 biji tomato, belah 4 setiap satu
3 batang akar daun ketumbar -dibuang kotoran, dan kikis sedikit
6-10 biji cili padi siam- diketuk
1 jag air (atau secukupnya)
Sos ikan
Garam, Serbuk Perasa

(A)Rempah Tumis
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 batang kayu manis

(B)Bahan Tumbuk
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

(C)Bahan Serbuk
1 sudu besar serbuk ketumbar
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih

Bahan Hiasan
daun ketumbar
daun bawang
bawang goreng

Cara-Cara
1.Ayam dibuang kulit, cuci bersih dan toskan. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis lengkuas yang diketuk, bahan A, B dan C sampai garing dan pecah minyak.
2.Tuang air dan masukkan saleri, akar ketumbar dan serai. Biar mendidih sekejap dan masukkan ayam.
3.Didihkan lagi hingga ayam masak. Tambah sos ikan dan serbuk perasa. Boleh tambah garam secukup rasa.
4. Akhir sekali masukkan tomato dan cili padi yang diketuk dan masak 1 - 2 minit lagi.
3.Tabur hirisan daun ketumbar, daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan.
** Sup ni pedas2 sikit, macam sup kat kedai tomyam tu. Kalau suka, boleh tambah cendawan butang ke dalam sup (ermmm..teringat pada seorang sahabat yang suka makan sup ayam cendawan)



Ok... jom kita dinner ala2 kedai tomyam tapi kat rumah sendiri... hehehe....



Jumaat, 25 November 2011

Coklat Tema Biru

Salam...

Entri tertangguh lagi...hehehe...( semalam punyer)

Kali ni coklat plak... ditempah oleh Azlina Aziz (bukan penyanyi tu yer) tp rakan FB CK yang dok kat Jalan Puchong.... (member kamceng Kak Sheila dan Deana..hehehe)

Dengan tema biru, ini sajalah yang mampu dihasilkan... nk letak banyak sangat biru, takut tulisan tu tak terserlah plak...(masih terserlah ayumu?? )

Inti dalamnya- ada gajus, badam dan stoberi. Ina kata tak kisahlah nk letak filling apapun sbb coklat ni bukan dia yang makan...tp nk buat hantaran kawin. Orang sebelah ler yang merasa....huhuhu....


Bila Ina kata nak tulusan HUDA & RASHIDI - CK kata ok jer... tp terlupalah plak, dalam mould coklat takde bentuk '& Alamak...cemmana yer?? so CK tanyalah cik Zarina. Katanya tulis jer ngan tangan. TQ Zarina !!! 


 Ada yang berminat?? 1 box coklat = rm40.00



Khamis, 24 November 2011

Fruit Chocolate Cake.... Hepi Birthday My Hubby !!

Salam...bersua lagi..

Entri tertangguh... kejadian berlaku 2 hari lepas yer...so kek ni dh habis lah yer....jangan tanya lagi...

Walaupun sibuk dengan segala tempahan kuih frozen, apam dan cis tat, CK sempatkan jugak untuk buat kek coklat ni untuk sambut birthday bang Jebat pada 22 November lalu (selasa lepas)

Keknya biasa jer, kek coklat moist jer...dan dihiasi dengan buah2... lebih senang, dan tak payah pening kepala nk deco2. (asalnyer beli buah2 tu CK teringin nk makan fruit tart...tp apakan daya...masa takde...huhuh...sampai skang ni masih tak terbuat lagi...)


Resipi kek Choc Moist CK
sumber: Cendanakasih

Bahan-bahan A
1 cawan serbuk koko
1 cawan gula pasir
1 cawan susu cair
1 cawan buttercup- dicairkan
1/2 cawan susu pekat manis

Bahan B (diayak 3 kali)
1 1/4 cawan tepung kek/ superfine
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan C
3 biji telur
1 sudu teh Ovalette
1 sudu kecil Esen Vanila

Caranya:
-Campurkan koko, gula, susu cair, susu pekat dan mentega cair ke dalam periuk dan masak hingga semua larut. Ketepikan dan biarkan ia sejuk.
-Pukul putih telur sampai kembang. Kemudian baru masukkan pula kuning telur. Pukul lagi dan tambah esen vanila dan ovelet.
-Campuran bahan A yang dimasak tadi dan digaul sebati dengan telur menggunakan whisker.
-Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau
-Biar semuanya bergaul sebati. Masukkan ke dalam loyang
-Kukus selama 1 jam.(boleh juga dibakar)
-Biar kek sejuk dan barulah boleh deco





Kami sambut anak beranak kat rumah jer... asal mmg nk makan2 kat luar, tp disebabkan tempahan tengah menimbun, so terpaksa tangguhkan dulu rancangan. Hadiah untuk birthday boy (dah tua laaa...) ni pun CK tak beli lagi. Hajat hati nk belikan Samsung Galaksi Tab. Tapi tengok lah mcm mana yer.... (sarung Galaksi Tab boleh tak?hahahah)





Ahad, 20 November 2011

Urap Kacang Botol

Salam...

Suka makan kerabu? kat rumah ni hanya CK sorang jer makan ulam2 dan kerabu ni. Orang lain tak pandang langsung. Tapi apa kisah kan.. nk awet muda, kena rajin makan kerabu/ulam2.

So meh layan urap kacang botol ni. Errmmm...tak sempat makan dengan nasi, dh licin.


Urap Kacang Botol
Sumber: Cendanakasih


Bahan-bahan
-10 biji kacang botol-dibersihkan dan dihiris nipis
-1 cekak taugeh- direndam sekejap dalam air panas
-1 batang bunga kantan- dihiris nipis
-1 biji bawang besar- dimayang halus
- sedikit udang kering- disangai dan ditumbuk halus
- 1/2 cawan kelapa parut- digoreng hingga kekuningan

Bahan-bahan dikisar bersama
-2 biji cili merah
-5 biji cili padi (terpulang ikut kepedasan masing2)
-sedikit belacan
-garam, perasa, gula
-2 biji limau nipis - diperah dan diambil airnya

Cara-cara
Dalam mangkuk besar, satukan semua bahan-bahan. Gaul rata dan imbangi rasa masam, masin dan manisnya.
Tabur kelapa yang digoreng dan udang kering yang disangai. Gaul rata dan siap !!


Kali ni CK guna udang geragau kering jer, sbb takde stok udang kering yang besar tu. Setelah dibersihkan udang geragau tu, CK toskan airnya dan masukkan dalam oven. Bakar sekejap pada suhu 160'c selama 5-7 minit. Bila udang dah kering dan perang, CK blender kering...zzzzzzzzz.... siap. Senang. Boleh masuk dalam botol dan guna banyak kali. Untuk goreng sayur, masuk dalam mee goreng pun bleh.

Ok.... jom makan ulam mentah !!



Sabtu, 19 November 2011

Ayam Masak Kicap

Salam... dh cuti sekolah, so banyak la keje. Masak kena awal. Tapi si adik la yang paling bahagia, sebab selama satu bulan setengah dapat berkepit dengan kakak dan abang dia. So ringan sikit masalah mama. Hehehe...

Hari ni masak ayam kicap versi anak2. Sebabnya kalo versi biasa yang mayang segala bawang tu, anak2 sure berjam dok memilih keluar bawang2 tu. So penyelesaiannya, blender semua bawang tu. Meh tengok resipinyer.


Ayam Masak Kicap
Sumber: Cendanakasih

1/2 ekor ayam - dipotong, dibersihkan dan digoreng separuh masak
5 ulas bawang kecil*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia* - bahan2 * ditumbuk lumat
2 sudu besar cili kering kisar
3 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar sos tiram
1 biji ubi kentang- dipotong wedges dan digoreng hingga empuk
rempah penumis (bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis)
1 biji bawang besar, dipotong bulat
1 biji cili hijau- dipotong serong

Cara-cara
Panaskan minyak, masukkan bahan penumis bersama bahan ditumbuk. Tumis hingga naik bau.
Masukkan cili kering kisar. Tumis sampai cili masak
Kecilkan api, masukkan kicap pekat dan sos tiram
Boleh tambah sedikit air
Masukkan ayam goreng dan gaul rata. Tambah garam jika kurang masin dan serbuk perasa jika suka
Masukkan kentang, bawang besar yang dipotong bulat dan cili hijau. Gaul rata dan bolehlah diangkat
SENANG kan!!



Jumaat, 18 November 2011

Gulai Udang Kulat Sisir

Salam Jumaat.

Suram hari ni..belum sempat kering semua jemuran, hujan dah turun..ermmm...cian kat hubby dan Irfan yang pegi sembahyang Jumaat naik moto. Harap tak kena ujan.

Hari ni CK masak lauk kegemaran masa kecik2. Sebenarnya sejak 13 tahun kahwin, CK tak pernah masak lauk ni. Entah kenapa masa ke pasar borong, nampak orang jual kulat sisir ni. Sekilo rm30.00 (uish..mahal gak kan)...CK ambik 100 gm = rm3.00. Dalam kepala mmg dah terbayang nk masak lauk ni. Tak lengah, terus ke bahagian ikan, beli udang.


Kari Udang Kulat Sisir
Sumber: Cendanakasih

Bahan-bahan
30 ekor udang sederhana besar
100 gm kulat sisir (direndam dan toskan)
1 biji tomato - dibelah 4
2 biji kentang- dikerat 4
4 sudu besar serbuk kari ikan
1 sudu kecil serbuk kaskas
1/8 cawan santan pekat (CK guna santan kotak KARA)
2 biji cili hijau- dikerat 2

Bahan tumbuk/blender
5 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan tumis
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil halba campur
3 biji cili kering-dipotong kecil2
2 tangkai daun kari

Cara-cara
Satukan serbuk kari dan serbuk kaskas dalam satu bekas.
Panaskan periuk,masukkan minyak masak dan biar panas sekejap
Masukkan bahan penumis
Tumis hingga kekuningan kemudian,
Masukkan bahan-bahan ditumbuk, bersama serbuk kari. Kacau rata
Boleh tambah air sedikit
Biar rempah masak/ hingga naik minyak.
Perlahankan api, masukkan air sebanyak mana kuah yang dikehendaki, diikuti dengan santan. Masukkan ubi kentang dan biar empuk.
Masukkan kulat sisir dan udang. Masukkan cili hijau dan tomato. Tambah garam dan perasa.
Kecilkan api, dan biar hingga naik minyak.
Siap.


Kalo kuahnya dipanaskan hingga pekat...pergh..mmg sedap makan ngan roti bakar ataupun roti canai.



Rabu, 16 November 2011

Asam Pedas Rebus Ikan Tenggiri

Salam...

Sesekali makan asam rebus mmg best... kena plak ngan sambal belacan atau budu serta ulam2... pergh... inilah lauk yang cuba CK elak.. (huhuhu..penangannya cukup hebat untuk memusnah diet sebulan...hahaha)


Asam Pedas Rebus Ikan Tenggiri
Sumber : Cendanakasih

Bahan-bahan
3 keping ikan tengiri- dibersihkan
1 biji terung bulat - dibuang kulit, belah 6
secekak daun kesum
1 batang bunga kantan - dibelah 2
3 keping asam gelugor
garam
perasa
2 cawan air (ikut suka banyak mana kuah)

Bahan tumbuk/kisar
4 ulas bawang merah
1 inci belacan
1 sudu kecil ketumbar biji
1 sudu besar pes cili kering kisar
1/2 sudu kecil serbuk kunyit

Cara-cara
Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk/kisar ke dalam periuk bersama asam keping, bunga kantan dan daun kesum. Tambah air sedikit. Biar mendidih sekejap
Tambah air lagi. Masukkan ikan tenggiri dan terung bulat. Biar mendidih dan hingga terung empuk.
Tambah garam dan serbuk perasa. Biar mendidih sekejap dan siap.
SENANG KAN !!!

Inilah lauk kegemaran arwah abah CK.. dan kalo arwah mak masak lauk ni...ermm... sampai ke titisan terakhir CK akan hirup kuahnyer. Apapun, masakan ibu mmg sedap kan !!




Selasa, 15 November 2011

Kuih Cara Berlauk

Salam... mari minum petang dengan kuih cara berlauk. Dah lama bercadang nk buat kuih ni, tp (ermmm...tau-tau ler kan...) Walaupun dah ada acuan kuih cara, daging, daun sup bawang segala bagai, kalo mood rajin takde...ermm...cuma dapat berangan jer la...hahaha...

Sedap kuih ni. CK dapat resipi dari kawan CK, puan Sri Deanna Mohd Yasin (mama D ) yang berkongsi resipi di facebook. Kak Sheila pun dah try (kan akak kan.....)


Kuih Cara Berlauk
Resipi asal : Pn. Hawa/Kelas Masakan Kg. Petaling Bahagia, Kuala Lumpur
Sumber : Cendanakasih

Bahan A
2 cawan tepung gandum
4 cawan santan (1 santan + 3 cwn air)
1 biji telur
1 sudu teh perisa (tumix etc..)
sedikit garam
sedikit minyak bijan (1/2 sd besar)

#bancuh sebati semua bahan di atas kemudia tapis. Ketepikan

Bahan Inti
100 gram daging cincang
1 labu bawang besar
1 sudu makan serbuk kari
sedikit garam dan gula
minyak untuk menumis

# tumis bahan2 di atas seperti biasa kemudian ketepikan.

Bahan tabur
cili merah hiris
daun sup dan daun bawang
bawang goreng (CK tambah)

Cara Membuatnya :-
Panaskan acuan cara. sapukan minyak.
Tuang bahan A memenuhi acuan.
Masukkan bahan inti dan bahan tabur.
Tutup acuan dan tunggu hingga masak.
Setelah kuih masak, bolehlah diangkan dan hidangkan panas2.


Alamak...banyak plak dapat kuih ni... berjam jugak nk siapkannya (yelah, CK cuma ada 1 jer acuan kuih cara tu)...so berjanggut ler nk abiskan... jadinyer........... setakat yang rajin jer laaa..... lebihan adunan batter tu CK simpan dalam esbox.. esok (kalo rajin) CK campur ngan tepung sikit, letak togeh, daun kucai, udang.......dan JADILAH cucur udang... hahaha....




Ahad, 13 November 2011

Resipi Kicap Kuetiau Goreng

Salam Ahad buat semua !!

Pagi ni bersarapan dengan favourite food, kuetiau goreng..errrmm...puas makan...buat pedas2 sikit.. aghhh..ketepikanlah tekak anak2 yang tak tahan pedas sbb diorang mmg tak makan kuetiau ni.

Kuetiau hari ini dibuat sesedap rasa sbb boleh letak sayur banyak2, kerang banyak2... ermm...best !!


Senang jer nk masak kuetiau atau mee goreng sekarang ni, sbb CK gunakan kicap goreng mee yang sedia ada. Sengaja CK buat satu botol...so boleh pakai banyak kali. Senang nk masak bihun, mee, kuetiau ataupun nasi goreng. Buat style basah atau kering sume boleh.

Resipi Kicap Kuetiau/Mee Goreng
Sumber: Cendanakasih

Bahan-bahan
1 cawan kicap cair
1 cawan kicap pekat (boleh sesuaikan ikut kehitaman yang dikehendaki)
1 cawan sos ikan (nampla)
1 cawan sos tiram
3 sudu besar udang kering- ditumbuk halus
1 kiub ikan bilis
2 sudu besar ajinomoto
1 sudu besar lada sulah
3 sudu besar cuka makan
2 sudu besar minyak bijan
1/4 cawan tepung jagung dibancuh dengan 1/2 cawan air

Cara-cara
Didihkan semua bahan-bahan (kecuali bancuhan tepung jagung) sampai menggelagak. Biar mereneh selama 10 minit
Akhir sekali masukkan tepung jagung. Kacau rata dan biar pekat lagi sedikit
Sejukkan, dan bolehlah dimasukkan ke dalam botol. Simpan dalam fridge dan tahan berbulan.

Note: Semasa menggoreng mee/kuetiau, tidak perlu dimasukkan garam lagi. Hanya sesuaikan rasa kemasinan masakan dengan kicap ni saja.


Resipi ni tak menghasilkan mee/kuetiau goreng yang hitam sangat. Kalo nampak tak brapa hitam, boleh la tambah kicap pekat lagi dalam sos ataupun semasa menggoreng.


Rabu, 9 November 2011

Nasi Himpit Goreng

Salam...

Dah breakfast??

Hari ni CK buat nasi himpit goreng untuk sarapan. Masa raya ari tu, sengaja CK simpan 4-5 biji ketupat nasi, semata-mata nk masak juadah ni. Tingin sangat.

Errmm... sedap. Sapa yang suka makan fried carrot cake tu, sure suka menda ni.. alah, sama mcm kuetiau goreng la jugak, tp ni versi nasi himpit.

CK masak sama macam buat mee goreng/kuetiau goreng tu jugak. Dan kali ini lebih express(cepat) sbb CK gunakan sos/kicap mee goreng. Senang, cuma tumis bawang putih dan cili kering kisar. Pastu masukkan ayam, udang, dan segala jenis fishball, fishkek.
Pecahkan telur sebijik. Masukkan nasi himpit yang telah dipotong kecil2. Kacau rata. Masukkan kicap mee secukup rasa dan cukup elok hitam...hehehe... Kicap ni tak payah letak garam dan ajinomoto dah. Sume dah cukup.
Akhir sekali, masukkan taugeh dan kubis. Nk guna sayur lain pun boleh. Kacau rata dan siap. Boleh tabur dengan bawang goreng, cili merah hiris, daun sup dan daun bawang.



Errmm...pertama kali masak respi baru. Sedap jugak... Lepas ni boleh cuba lagi..

Kalo ada lebihan nasi himpit tu, janganlah dibuang. Meh cuba respi ni.



Selasa, 8 November 2011

Yummy Carrot Cake (Along dah 11 tahun)

Salam...

Tanggal 29 Oktober lalu genaplah 11 tahun umur anak dara sulung CK. Tapi sambutan harijadinya kami tak buat pun...sekadar celebrate kat Restoren kegemaran along iaitu A&W.. tapi CK tetap janji akan buatkan kek (utk bagi dia suka laaa....)

Maka pada hari raya Aidil Adha hari tu,CK buatkanlah kek untuk dia (err...sebenarnya CK yang tingin nk makan kek tu...hahahha)... DAN... terhasillah YUMMY CARROT CAKE - resipi sumbangan sahabat baik CK dari Johor- Linda. Kawan CK ni mmg pandai buat kek dari zaman sekolah lagi. CK paling suka makan kek lapis dia.

Suka along dapat kek harijadi. Walaupun tak brapa cantik (mcm kat kedai)...tp boleh laaaaaaaaa....

TQ Linda atas kek yang sedap. Terasa semuanya dalam kek ni...ada lemak2 kelapa, manis2 nenas dan lobak merah.. ermm...lagi best dengan frosting cheese. 

YUMMY CARROT CAKE
resipi asal: Linda Shaharom
sumber: Cendanakasih


BAHAN A
220gm gula castor
4 biji telur
1/2 sd teh garam
160gm minyak jagung/minyak masak ( sdp minyak jagung la )

BAHAN B
190gm tepung gandum
1 sd teh serbuk kayu manis
1 sd teh soda bikarbonat

BAHAN C
270gm lobak merah (diparut )
120gm nenas kiub ( cincang )
100 gm jus nenas
40gm kelapa kering ( Hawaiian Coconut )
60gm walnut ( bakar n cincang )

CARA2NYA
Satukan bhn A kecuali minyak.Pukul hingga kembang dan putih.
Masukkan minyak sedikit demi sedikit sambil dipukul.
Adunan menjadi pes bewarna kuning yg kental dan likat.

Masukkan bhn B yg telah di ayak.
Pukul hingga menjadi pes lembut.

Pindahkan pes ke dlm sebuah mangkuk adunan yg lebih besar.
Masukkan semua bhn C dan gaul dgn senduk hingga adunan merata.

Siap untuk di bakar.Guna loyang 9" ( bulat atau 4segi )
Bakar selama 1 jam - 180'C ( ikut la ketuhar masing2 laaa)


Errr.... nombor 11 tu bersememeh sikit...asalnya CK tertulis nombor 10 (ingat anak masih kecik lagi...hahaha...) dah 11 tahun rupanyer.... Nasib baiklah si Irfan tegur (mama, along dah 11 tahun laaaa...)

Isi perut dalam kek tu... ermmm...CK takde pemarut khas mcm parut ubi tu...hanya parut/slicer tu jer...so hasilnya dapat parutan yang kasar2 gitu...ermmm...kalo parutan halus, mungkin lagi sedap kot...



Ok..sampai sini dulu

Ahad, 6 November 2011

Salam Aidil Adha- Juadah Hari Raya

Salam dan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua.

Inilah dia juadah dari teratak CK di Bukit Jalil ni..ada lagi yang belum enter frame, iaitu Laksa, Rendang Daging dan Kek...

Ada ketupat palas dan ketupat nasi. Ketupat palas tu mmg juadah wajib bagi CK (maklum ler..org sebelah utara terkenal dengan ketupat palasnya) 

Ketupat daun kelapa tu dianyam oleh my Jebat (CK mmg fail tiap kali nk menganyam ketupat daun kelapa ni...)... dan adalah lebih selamat jika CK rebus ketupat Nona jer..hahaha

Rendang Ayam ni dimasak pagi tadi... ni rendang klasik ala Nogori Sembilan...respinya...len kali lah CK update yer...tp mmg sodap rondang ni....


Ok...Selamat Hari Raya.... juadah lain menyusul di entri akan datang yer..insyaalah.....hehehe




Jumaat, 4 November 2011

Tapai Pulut

Salam semua...

Seronoknya CK dapat buat tapai pulut untuk suami tersayang. Ini memang makanan kegemaran suami CK, tp sebelum ni CK tak pandai buat tapai. Hinggalah pada suatu hari my Jebat suruh MIL (mak dia) buatkan tapai, tp orang tua tu takmo (apa raaa...anak sendiri nak makan pun tak boleh nak buat....ermmm...cian my Jebat, merajuk... so..CK berusahalah buat tapai sendiri. Sebelum ni pernah tanya arwah mak CK macam mana nk buat tapai ni, tp CK dengar2 macam tu jer..tak tulis, tak simpan dalam kepala otak..bila mak dah takde baru menyesal...huhuhu..

Namun, rakan2 blogger masih ada yang bermurah hati. So CK dapat resipi tapai dari Alongroz (Home Kreation)... Dan hasilnya............


TADAAAA !!! inilah tapai yang berjaya CK buat... terima kasih Along. Resipi asal boleh tengok sini yer
My Jebat suka sangat-sangat. Sampaikan suruh CK ucap terima kasih banyak2 pada Alongroz sbb sudi ajar bininyer ni cara2 buat tapai yang manis, sedap dan banyak air... Dan..ketika entri ni dimasukkan, tapai dah tinggal sikit jer..habis dimakan dek my Jebat...katanya tekaknya pun dah mula sakit..suara pun dah serak...hahaha...

Ok..CK letak resipinyer untuk rujukan kawan2 dan CK sendiri dimasa akan datang.

Tapai Pulut
Resipi asal : Alongroz@Home Kreation
Sumber : Cendanakasih

Bahan-bahan
1 kg Beras Pulut
1 pc ragi ditumbuk halus (sebiji ragi seberat 10-12 gm)
4-5 tbs gula
1 cawan air

Cara-cara
1. Rendam pulut selama 4-5 jam
Kukus sampai lembut
Sejukkan pulut tadi

2. Gaulkan pulut bersama gula dan ragi
Renjiskan air agar pulut tidak melekat
Bulat-bulatkan pulut tadi dan simpan dalam bekas

3.Bungkus dan simpan ditempat gelap selama 2 malam
Tapai siap bila dah berair


Namun, ada petua dan pantang larang dalam membuat tapai ni. Ni petua arwah mak CK laa..antaranya badan kenalah bersih. Tak boleh kotor-kotor. Sebaiknya mandi ler dulu sblm wat tapai...hahaha....
Lagi satu, masa membungkus tapai, mulut takleh bercakap..diam jer...(ermm...entah ler..apsal yer...)
Kalo orang yang datang bulan, takleh buat tapai/bungkus tapai...kononnya hasilnya nanti tapai jadi merah...(logik ker....)


Tapi yang PENTING pulut hendaklah betul2 sejuk sblm ditabur ragi dan gula. Pulut yang panas akan menghasilkan tapai yang kemerah-merahan.


Ermm... ada yang nak rasa? meh la rumah..CK buat lagi tadi....untuk dijamu pada tetamu hari raya nanti.


p/s : Terima Kasih Alongroz !!! Semoga murah rezeki



Selasa, 1 November 2011

Rojak Tauhu

Salam...
Makanan ni mmg menjadi kegemaran CK sejak dua menjak ni. Kenyang, sihat dan mudah. CK suka buat tauhu ni bila bang Jebat tak balik makan tengahari.  Untuk anak2, megi goreng sedap dah sedia menanti. Diorang mmg tunggu peluang jer untuk makan megi goreng tu. Haahaha... hari ni dapat rilex sikit !!



Rojak Tauhu
Sumber: Cendanakasih

Bahan-bahan
-2 keping tauhu -digoreng dan dipotong
-1 batang tauhu telur - dipotond dan digoreng
-sedikit timun-diracik
-sedikit taugeh- dicelur sekejap

Bahan sos
-3 biji cili padi (terpulang kepada kepedasan)
-1 ulas bawang putih kecil
-1 sudu besar kacang tanah tumbuk
-sedikit kicap
-bijan -untuk ditabur

Cara-cara

Mula-mula kita buat sos dulu. Tumbuk cili padi dengan bawang putih hingga lumat. Masukkan kicap dan gaul rata. Boleh tambah sedikit garam jika suka. (kalau agak kering, boleh tambah sedikit air masak)

Ok.. dh siap sos, masukkan tauhu dan tauhu telur yang digoreng dalam pinggan. Letakkan skali taugeh dan timun. Curahkan sos dan tabur kacang tanah dan bijan. Siap.... dan boleh dimakan.


Errmm... jom makan !!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...